Sejarah Penubuhan

Posted in Uncategorised


Biro Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada September 1970. Objektif utamanya adalah untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman mengenai isu undang-undang yang dihadapi oleh golongan miskin. Penubuhan Biro Bantuan Guaman telah dicadangkan sejak tahun 1954 lagi. Tetapi langkah positif yang pertama telah diambil oleh Kerajaan hanya dalam tahun 1960. Ini adalah hasil daripada sepucuk surat yang ditulis oleh "Orthopaedic Almoner" yang ditempatkan di Hospital Besar Kuala Lumpur yang meminta supaya nasihat guaman percuma diberikan kepada pesakit yang mengalami  "residual disabilities" yang serius yang pampasan boleh diberikan jika mereka diwakili dari segi undang-undang.

Sementara itu, beberapa pertubuhan wanita juga mendesak Kerajaan supaya bertindak bagi membantu wanita dan anak-anak mereka dalam tuntutan nafkah terhadap suami mereka dan penjaga kanak-kanak.

Pada masa itu, nasihat dan bantuan guaman hanya terhad kepada -

  • kakitangan Kerajaan dalam prosiding undang-undang berhubung dengan tugas rasmi (melalui Peraturan-peraturan Pegawai-pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah-perintah Am Bab "D") 1969).
  • orang miskin dalam "forma pauperis" (melalui Kaedah-Kaedah Mahkamah Agung 1957).
  • orang yang dituduh atas kesalahan jenayah melibatkan hukuman mati (melalui Kanun Tatacara Jenayah).

Pada Oktober 1969, perkara ini telah dirujuk kepada Peguam Negara dan beliau menyokong saranan ini. Kemudiannya perkara ini telah dirujuk kepada Kementerian Kehakiman yang kemudiannya meminta nasihat daripada Majlis Peguam yang juga menyokong skim yang dicadangkan ini.

Suatu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara ini dan berikutnya suatu projek perintis telah dilancarkan pada September 1970 yang menyediakan khidmat nasihat bantuan guaman sahaja. Sejumlah RM 100,000 telah diperuntukkan untuk tujuan ini. Disebabkan oleh dana yang terhad, adalah perlu skim ini dihadkan bidang kuasanya hanya untuk prosiding tertentu sahaja. Keutamaan telah diberikan kepada kes-kes kekeluargaan yang dikenal pasti yang memerlukan bantuan segera seperti tuntutan nafkah,penguatkuasaan perintah nafkah dan sebagainya.

Pada awal penubuhannya, Biro telah diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara dan dengan tertubuhnya Kementerian Undang-Undang pada 1985, Biro telah diletakkan di bawah Kementerian ini sehingga bulan Mei 1995. Kini, Biro diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.


Mulai 16 Januari 2010, nama Biro Bantuan Guaman telah ditukar kepada Jabatan Bantuan Guaman.