Peguam Panel

Soalan Lazim [ Peguam Panel ]
       
1. Siapakah peguam panel Jabatan Bantuan Guaman (JBG)?
  Peguam panel JBG ialah peguam swasta iaitu peguam bela dan peguam cara dan peguam syarie yang dilantik oleh Ketua Pengarah JBG untuk mengendalikan kes-kes sivil dan syariah yang ditugaskan kepada mereka dengan kadar bayaran tertentu yang akan ditanggung oleh JBG.
       
2. Dalam keadaan manakah sesuatu kes akan ditugaskan kepada peguam panel?
  Sesuatu kes akan ditugaskan kepada peguam panel sekiranya kedua-dua pihak layak mendapat bantuan guaman. Dalam keadaan demikian, JBG tidak boleh mewakili mana-mana pihak kepada pertikaian itu. Selain itu, sesuatu kes juga boleh ditugaskan kepada peguam panel sekiranya ia melibatkan isu undang-undang yang kompleks atau percanggahan kepentingan sekiranya kes itu dikendalikan oleh JBG.
       
3. Adakah peguam panel mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak sesuatu kes?
  Ya. Sesuatu kes hanya akan ditugaskan kepada peguam panel yang bersetuju mengendalikannya.
       
4. Saya seorang peguam. Bagaimanakah caranya untuk memohon menjadi peguam panel JBG?
  Anda boleh membuat permohonan atas talian di www.jbg.gov.my dan mengemukakan kepada Ketua Pengarah maklumat peribadi anda dan dokumen sokongan yang berkaitan seperti yang berikut:
    i) Nama penuh, alamat, profil dan insuran firma guaman;
    ii) Pencapaian akademik / kelayakan, tahun bekerja dan pengalaman dalam bidang perundangan;
    iii) Salinan Sijil Amalan Guaman (terkini); dan
    iv) Salinan yang disahkan Sijil Peguam Syarie Negeri (terkini).
       
5. Adakah peguam panel dikehendaki melaporkan perkembangan kesnya kepada JBG? Jika ya, bagaimana?
  Ya. Peguam panel perlu sentiasa melaporkan perkembangan kesnya kepada JBG melalui sistem "SPK-JBG" dalam www.jbg.gov.my.
       
6. Bagaimanakah peguam panel menuntut bayarannya?
  Peguam panel boleh menuntut bayarannya apabila kesnya telah selesai sepenuhnya. Untuk berbuat demikian, dia hendaklah -
    i) kembalikan fail kes kepada JBG termasuklah semua dokumen dan kertas kuasa; dan
    ii) kemukakan bil kepada JBG mengikut skala bayaran yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Peraturan-Peraturan Bantuan dan Nasihat Guaman 1970 [P.U. (A) 299/1970].
  Bil akan diluluskan dan diperakukan jika dokumen lengkap dan teratur. Jika sebaliknya, bil akan dikembalikan kepadanya untuk pindaan dan tindakan lanjut.
       
Sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Peguam Panel..Klik di sini