
JBG Kedah dan Lembaga Zakat Negeri Kedah Santuni Asnaf melalui program 'Justice on Wheel' di Sik Kedah
SIK, 28 Jun 2025 – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Negeri Kedah dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menganjurkan Program Jelajah Klinik Guaman Bergerak “Justice on Wheels Santuni Asnaf” bertempat di Masjid Al-Wushta, Kampung Belantik, Sik, Kedah. Program komuniti berimpak tinggi ini menyasarkan golongan asnaf dari kariah Belantik, Gulau dan Landai, melibatkan seramai 152 penerima bantuan zakat. Majlis dirasmikan oleh Tuan Mohd Zaki bin Abdul Rahman, Pengarah JBG Negeri Kedah. Turut hadir ialah Tuan Mohamad Suraidi bin Saad, Ketua Pegawai Agihan LZNK dan Tuan Haji Abd Jabar bin Ali, Pengerusi Masjid Al-Wushta. Program dimulakan dengan kuliah dhuha oleh Ustaz Mohamad Hakim bin Azizan, Mudir Smart Tahfiz Darul Bayan, sebelum diteruskan dengan sesi Literasi Undang-Undang oleh JBG Kedah yang disampaikan oleh Encik Yusman bin Abdul Rasjid bertajuk “Pengenalan: Fungsi dan Peranan Jabatan Bantuan Guaman”. JBG Kedah turut membuka kaunter khidmat nasihat guaman percuma, memfokuskan kepada isu kekeluargaan sivil dan syariah, kes sivil, kes jenayah serta khidmat pendamping guaman. Pameran dan edaran risalah turut dijalankan sepanjang program. Program ini turut mendapat sokongan agensi lain seperti Pejabat Kesihatan Daerah Sik, yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, yang membuka kaunter perkhidmatan seperti pendaftaran OKU, semakan bantuan dan kes keganasan rumah tangga. Zus Coffee turut menyertai program sebagai rakan penglibatan komuniti. Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan zakat bulanan dan kit makanan kepada asnaf, serta ziarah rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan secara langsung kepada mereka yang memerlukan. JBG Kedah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan kerjasama strategik ini dapat diteruskan demi memperluas akses kepada keadilan dan memperkukuh kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat, selaras dengan slogan JBG: “Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni.” |
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
|
|
![]() |