
Program Jelajah Kehakiman Kedah & Perlis 2025
ALOR SETAR, 4 & 5 Julai 2025 (Jumaat & Sabtu) – Program Jelajah Kehakiman Kedah dan Perlis 2025 anjuran Badan Kehakiman Malaysia telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari di Kompleks Star Parade, Alor Setar. Program ini menghimpunkan sebanyak 24 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan pelbagai lagi. Turut serta dalam program ini ialah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Negeri Kedah dan Perlis yang memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Delegasi JBG Kedah diketuai oleh Tuan Mohd Zaki bin Abdul Rahman, manakala JBG Perlis diketuai oleh Puan Alia Suzila binti Chek Pi. Sepanjang program, kedua-dua pasukan JBG aktif mengendalikan reruai pameran, menyampaikan khidmat nasihat guaman secara percuma serta memperkenalkan inisiatif Justice on Wheels menerusi van perkhidmatan bergerak mereka. Kehadiran Ketua Pengarah JBG, YBrs. Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi bersama Timbalan Pengarah (Sivil), Puan Arleen binti Ramly menyerikan lagi acara dengan lawatan ke reruai JBG dan sesi ramah mesra bersama pengunjung serta pegawai yang bertugas. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh, Timbalan Ketua Pendaftar, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia. Program Jelajah Kehakiman ini bukan sahaja menjadi platform untuk pendidikan dan literasi undang-undang, tetapi juga mencerminkan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memperkukuh sistem keadilan negara di peringkat akar umbi. JBG Negeri Kedah dan Perlis menyatakan komitmen berterusan untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, sejajar dengan aspirasi Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Badan Kehakiman Malaysia dalam memastikan akses kepada keadilan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. |
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |