
“Justice on Wheels Santuni Asnaf”: JBG Kedah & LZNK Bersama Bantu Golongan Memerlukan di Baling
31 Julai 2025 (Khamis) | Baling, Kedah – Jabatan Bantuan Guaman Negeri Kedah (JBG Kedah) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menganjurkan Program Jelajah Klinik Guaman Bergerak: Justice on Wheels Santuni Asnaf di Masjid Sultan Sallehuddin Tok Bandar, Pulai, Baling. Inisiatif ini merupakan satu pendekatan menyeluruh dalam menyantuni golongan asnaf serta memberi kesedaran undang-undang kepada masyarakat luar bandar.
Program yang menyasarkan golongan kurang berkemampuan ini dihadiri seramai 150 orang asnaf yang turut menerima bantuan zakat dan kit makanan. Majlis dirasmikan oleh Tuan Mohd Zaki bin Abdul Rahman, Pengarah JBG Negeri Kedah, manakala delegasi LZNK diketuai oleh Tuan Mohamad Suraidi bin Saad, Ketua Pegawai Agihan LZNK. Turut hadir sama Tuan Jamaly Juwardi bin Jaafar, Ketua Division Agihan LZNK dan Tuan Haji Mohd Nasrun bin Hamid, wakil Masjid Sultan Sallehuddin Tok Bandar.
Program dimulakan dengan kuliah dhuha yang disampaikan oleh Dato’ Syeikh Ahmad Fisol bin Omar, Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah, yang menyuntik motivasi dan pengisian rohani kepada peserta program.
Antara pengisian utama ialah slot literasi undang-undang oleh Encik Yusman bin Abdul Rasjid dari JBG Kedah bertajuk “Pengenalan: Fungsi dan Bantuan Guaman” yang memberi pendedahan berkenaan peranan dan perkhidmatan JBG. Dalam usaha memperluaskan akses kepada keadilan, JBG turut menyediakan khidmat nasihat guaman percuma dan membuka reruai pameran berkaitan kes kekeluargaan sivil dan syariah, kes sivil, jenayah serta khidmat pendamping guaman.
Program ini turut diteruskan dengan penyampaian bantuan zakat bulanan dan kit makanan kepada para asnaf, serta ziarah rumah ke rumah oleh petugas untuk menyampaikan bantuan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.
JBG Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan secara berterusan dalam mendekati masyarakat, memperkasa kesedaran undang-undang, dan menyampaikan mesej bahawa akses kepada keadilan adalah hak semua, selaras dengan slogan JBG:
“Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni.”
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |