
Majlis Kunjung Hormat Ibu Pejabat Jabatan Bantuan Guaman ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
1 Ogos 2025 (Jumaat) - Ibu Pejabat JBG telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri di Aras 5, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya.
Delegasi Ibu Pejabat JBG telah diketuai oleh YBhg. Dato' Norazmi bin Mohd Narawi, Ketua Pengarah Bantuan Guaman, diiringi YBrs. Tuan Hj. Nassir bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Syariah) JBG, Tuan Shukran bin Yusof, Penolong Pengarah (K), Bahagian Pengantaraan (Syariah), Tuan Mohd Yazid bin Ramli, Penolong Pengarah (K), Bahagian Litigasi dan Nasihat (Syariah) dan Encik Ismail bin Yusof, Penolong Pegawai Syariah, Bahagian Pengantaraan (Syariah).
Kunjungan hormat ini juga telah disambut mesra oleh Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan bersama beberapa orang Pegawai di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membuat perbincangan dan berkongsi pandangan berkaitan isu-isu perundangan bagi menambahbaik perkhidmatan bantuan guaman di Malaysia serta boleh mengeratkan lagi kerjasama strategik antara JBG dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Antara perkara yang disentuh ialah kepentingan rujukan fatwa sebagai sandaran dalam penyediaan hujahan bila menyentuh sesuatu hukum yang terkait dengan pertikaian yang dibicarakan, relevansi pandangan Mufti sebagai pandangan pakar dalam keterangan untuk pertimbangan Mahkamah, kepentingan semakan oleh Mufti atas apa-apa kandungan maklumat bertulis dan paparan media yang menyentuh isu hukum-hakam yang sensitif dan pertimbangan yang berlainan mengikut negeri, serta perbincangan mengenai pematuhan hukum syara' berhubung penggunaan wang zakat untuk urusan perbelanjaan bantuan guaman untuk golongan asnaf berasaskan had kifayah mengikut ketetapan negeri masing-masing.
Terima kasih diucapkan kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan atas kesudian menerima kunjungan hormat ini. Semoga kunjungan ini dapat menjalinkan kerjasama strategik di antara kedua-dua agensi bagi mengukuhkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.
“Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni.”
![]() |
![]() |