
Program Justice on Wheels (JOW) & Santuni Asnaf 2025 anjuran Jabatan Bantuan Guaman Pahang
JERANTUT, 4 Oktober 2025 – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman Cawangan Raub serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menganjurkan Program Justice on Wheels (JOW) & Santuni Asnaf 2025 bertempat di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut, Pahang.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haris Salleh bin Haji Hamzah, Ahli Dewan Negeri Pahang. Turut hadir ialah Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Syariah) JBG; Encik Nik Syahril bin Ab Rahman, Pengarah Bahagian Pengantaraan, Litigasi & Nasihat Sivil JBG; Puan Hajah Norsarfinaz binti Mohd Azman, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar; Encik Mohd Termizi bin Lee, Pengarah Wilayah Felda Wilayah Jengka; serta Ustaz Muhamad Juhairi Wafi bin Ahmad, Pengurus Cawangan Daerah MUIP Jerantut.
Program ini turut disertai oleh 16 orang pegawai dan kakitangan JBG Pahang dan JBG Raub, diketuai oleh Tuan Mohamad Rizal bin Fadzil, Pengarah JBG Pahang.
Antara pengisian utama program ialah penyampaian sumbangan kepada asnaf, lawatan tetamu kehormat ke rumah asnaf yang melibatkan seramai 50 penerima, slot literasi undang-undang bertajuk “Pengenalan: Peranan dan Jabatan Bantuan Guaman”, serta ceramah zakat oleh Ustaz Muhamad Juhairi Wafi bin Ahmad, Pengurus MUIP Daerah Jerantut. Program turut diserikan dengan Slot Kreatif bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Sepanjang program berlangsung, JBG Pahang turut menawarkan khidmat nasihat guaman percuma dan membuka reruai pameran berkaitan kes kekeluargaan sivil dan syariah, kes sivil, kes jenayah serta khidmat pendamping guaman.
Antara agensi yang turut serta menjayakan program ini ialah:
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK);
Jabatan Insolvensi Malaysia;
Pusat Bantuan Guaman, Majlis Peguam Temerloh;
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut; dan
Pusat Sebaran Maklumat (NADI).
JBG Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan secara berterusan dalam usaha meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat serta menyampaikan mesej bahawa akses kepada keadilan adalah hak semua, selaras dengan slogan JBG:
“Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni.”
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |