
Klinik Guaman dan Khidmat Nasihat Syariah di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan
SENDAYAN, 30 September 2025 – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Negeri Sembilan telah membuka kaunter Klinik Guaman dan Khidmat Nasihat Syariah di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, Sendayan. Program ini dikendalikan oleh Puan Nur Syuhada binti Ahmad Sukri, Pegawai Syariah, bersama Puan Nurul Asyikin binti Zakaria, Penolong Pegawai Syariah, serta dibantu oleh Nur ’Arisya Fariha binti Muhammad Fauzan.
Penganjuran program ini bertujuan memudahkan orang awam yang mempunyai persoalan berkaitan permasalahan kes syariah untuk mendapatkan nasihat secara langsung daripada pegawai profesional JBG Negeri Sembilan. Selain itu, ia juga merupakan inisiatif JBG Negeri Sembilan untuk memperkenalkan serta mendekatkan lagi khidmat yang ditawarkan kepada masyarakat.
Sambutan daripada orang awam amat menggalakkan, malah beberapa permohonan berjaya didaftarkan sepanjang program berlangsung. JBG Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) atas kerjasama yang diberikan, sekali gus membuka ruang untuk jalinan kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
![]() |