A- A A+

Syariah

1. Apakah hak yang lazim dituntut oleh seseorang wanita beragama Islam selepas perceraian?

Terdapat 5 hak yang lazim dituntut oleh seseorang wanita beragama Islam di bawah hukum Syarak dan Undang Undang Keluarga Islam -
a. mutaah;
b. hadanah;
c. nafkah anak;
d. nafkah idah; dan
e. harta sepencarian

2. Apakah itu mutaah?

 

Mutaah merupakan bayaran saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai. Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang wanita yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan mutaah.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian?

Harta sepencarian merupakan harta yang diperoleh secara bersama oleh suami dan isteri semasa perkahwinan masih berjalan mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak dan undang-undang.

4. Apakah dokumen yang perlu dikemukakan untuk mendapatkan bantuan guaman dalam kes fasakh?

Antara dokumen yang diperlukan iaitu kad pengenalan, slip gaji / pengesahan pendapatan Pemohon, sijil nikah/rujuk, dokumen-dokumen yang berkaitan dengan fakta kes, seperti laporan doktor, laporan polis dan sebagainya (jika berkaitan).

5. Bolehkah seorang isteri yang bernikah di luar negara mendapat bantuan guaman untuk menfailkan permohonan fasakh di Mahkamah Syariah di Malaysia?

Boleh, sekiranya Pemohon berkelayakan dari segi sumber kewangan dan pernikahan tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia serta kes tersebut mempunyai merit.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan (nusyuz)?

Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:
i)    apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii)   apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
iii)  apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
      tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

7. Apakah kesan nusyuz?

Isteri yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah sehingga beliau kembali taat kepada suaminya.

8. Apakah yang dimaksudkan dengan (cerai takliq) dan bagaimana sabitan takliq boleh berlaku?

Takliq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sebagaimana diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

9. Apakah bentuk nafkah anak yang boleh dituntut?

Keperluan harian seperti makan minum, pakaian, perbelanjaan, persekolahan, pendidikan asas, perubatan, dan tempat tinggal.

10. Siapakah yang bertanggungan untuk membayar nafkah anak?

Bapa kandung anak tersebut dan kaum kerabat lelaki sebelah bapa (mengikut susunan tertib wali).

11. Bagaimanakah kadar nafkah anak ditaksirkan?

Nafkah anak ditaksir berdasarkan kemampuan orang yang bertanggungjawab dan keperluan kanak-kanak tersebut.

12. Bagaimanakah prosedur untuk mengemukakan tuntutan nafkah anak?

Tuntutan nafkah anak boleh difailkan di Mahkamah Syariah di tempat Pemohon bermastautin dengan mengemukakan dokumen yang berikut :

(i) Kad Pengenalan

(ii) Surat beranak / sijil pengangkatan;

(iii) Sijil nikah / cerai; dan

(iv) Dokumen sokongan yang menyokong tuntutan.