A- A A+

Sivil

1. Adakah JBG menawarkan perkhidmatannya dalam kes jenayah

 Ya, JBG menawarkan perkhidmatannya dalam kes jenayah secara terhad iaitu -

  1. mewakili tertuduh dan kanak-kanak yang mengaku salah kepada pertuduhan dan ingin membuat rayuan untuk meringankan hukuman berkenaan dengannya;
  2. mewakili kanak-kanak dalam prosiding jenayah terhadap kanak-kanak di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]; dan
  3. mewakili tertuduh dalam prosiding jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

 

Pentadbiran Harta Pusaka

1. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka?

Harta peninggalan si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih. Harta seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insuran, kenderaan, perabot, pakaian dan sebagainya dipanggil harta alih. Harta seperti tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, lombong, sawah, bendang, telaga dan tasik dan bangunan/rumah di atas tanah disebut sebagai harta tak alih.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka kecil?

Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM2,000,000.00 ke bawah. Harta yang berikut adalah dianggapkan sebagai harta pusaka kecil:
a) tanah sahaja;
b) tanah dengan rumah;
c) tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP, simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian dan sebagainya; dan
d) tanah dan apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67].

3. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka biasa??

Semua jenis harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, atau sebahagiannya tanpa wasiat seperti:
a) harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM2,000,000.00 ke atas kesemuanya;
b) harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM2,000,000.00; dan
c) harta alih sahaja seperti wang, syer dan kenderaan walaupun nilai keseluruhannya kurang daripada RM2,000,000.00.

 

4. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka berwasiat dan tidak berwasiat (testate and intestate estate)?

Sekiranya si mati meninggalkan harta dengan surat wasiat terakhir yang sah yang mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan di antara waris-warisnya, harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat (testate estate).

Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selagi tidak mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Akta/ Ordinan Wasiat dan kesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris.

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3 daripada harta pusakanya kepada pihak-pihak lain selain daripada waris (sama ada dengan persetujuan atau tanpa persetujuan waris).

Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak berwasiat (intestate estate).

5. Apakah yang dimaksudkan dengan probet?

Probet ialah suatu tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet ialah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan surat kuasa mentadbir?

Permohonan surat kuasa mentadbir dibuat apabila si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat. Permohonan surat kuasa mentadbir boleh dibuat oleh pihak yang berikut:
a) waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki
atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya;
b) pemiutang (creditor) seperti pemberi pinjam wang, bank, koperasi dan sebagainya;
c) pihak-pihak pembeli (purchasers) dan pemegang serah hak, pemegang gadaian dan pajakan yang mempunyai kepentingan dalam harta peninggalan si mati;
d) waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad dan sebagainya; dan
e) Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam harta pusaka yang berkenaan.

7. Apakah prosedur untuk membuat permohonan probet dan surat kuasa mentadbir?

Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, permohonan hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet. Sekiranya si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir harta pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.

8. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa permohonan?

Setiap petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka hendaklah disertakan dengan:

a) bukti kematian si mati seperti sijil kematian (death certificate) atau permit untuk mengebumikan mayat. Lazimnya dokumen- dokumen seperti ini dikeluarkan oleh pihak hospital dan/atau pihak polis;
b) sekiranya kematian tidak dapat dibuktikan dengan cara biasa, satu permohonan untuk perintah anggapan kematian (presumption of death) hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu dan perintah Mahkamah Tinggi itu hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka;
c) surat wasiat terakhir si mati (bagi permohonan probet);
d) satu jadual yang mengandungi butir-butir serta nilai aset dan tanggungan (assets & liabilities);
e) suatu sijil faraid yang diperolehi daripada Mahkamah Syariah (bagi orang Islam);
f) suatu senarai waris-waris si mati, umur, tali persaudaraan dengan si mati dan alamat masing-masing bagi tujuan mendapatkan persetujuan melantik pentadbir yag dicadangkan;
g) surat persetujuan waris-waris yang bersetuju dengan pelantikan seseorang waris yang dicadangkan sebagai pentadbir harta pusaka (yang ditandatangani di hadapan seorang Majistret/ Pesuruhjaya Sumpah sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan);
h) surat penolakan waris-waris yang ingin menolak hak dan bahagian masing-masing terhadap harta pusaka peninggalan si mati (Borang 169); dan
i) dokumen pelantikan penjaga (guardian ad litem) sekiranya terdapat waris di bawah umur atau orang kurang upaya.

Dua (2) orang penjamin yang layak dan sesuai hendaklah dikemukakan sekiranya nilaian harta pusaka melebihi RM50,000.00.

Geran (atau kuasa) untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh mahkamah telah dikemukakan oleh pempetisyen

9. Bolehkah mahkamah mengecualikan bon penjamin?

Sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan untuk mendapat penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, permohonan boleh dibuat kepada mahkamah untuk suatu perintah bahawa pempetisyen diberi kebenaran untuk dikecualikan daripada mengemukakan penjamin-penjamin (dispensation of sureties) atau mendapatkan khidmat penjamin profesional seperti syarikat insurans atau institusi bank dengan bayaran fi yang ditetapkan oleh syarikat/ institusi berkenaan berdasarkan jumlah nilaian harta pusaka tersebut.

10. Bolehkah mahkamah mengecualikan bon penjamin?

Probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin diperoleh dan bon pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen.

11. Di manakah probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka perlu didaftarkan?

Setelah probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka diperolehi oleh pempetisyen, ianya hendaklah didaftarkan di pejabat tanah yang berkenaan, agar semua suratan-suratan hak-milik tersebut didaftar di atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati berkenaan, menurut Seksyen 346 Kanun Tanah Negara. Pempetisyen seterusnya bertanggungjawab, sebaik sahaja dia menghasilkan semua aset si mati, satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka itu kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati atau menurut Akta/ Ordinan Wasiat.

12. Apakah prosedur untuk membuat permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil?

Permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil (yang mana jumlah nilai harta tak alih bersama harta alih tidak melebihi RM2,000,000.00 pada tarikh peninggalan si mati) hendaklah dibuat di Pejabat Tanah yang berkenaan. Permohonan ini dibuat dengan menggunakan Borang A yang boleh didapati di Pejabat Tanah (Unit Pembahagian Pusaka Kecil).

13. Apakah dokumen yang perlu disertakan bagi permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil?

Permohonan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Borang A kepada Unit Pembahagian Pusaka Kecil berserta dokumen berikut;
a) Sijil kematian, permit pengebumian atau perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh mahkamah;
b) Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah; dan
c) Salinan hakmilik keluarga dan salinan dokumen-dokumen lain yang menunjukkan pegangan harta tak alih yang sah.

14. Setelah permohonan difailkan, apakah tindakan Unit Pembahagian Pusaka Kecil?

Setelah permohonan difailkan, Unit Pembahagian Pusaka Kecil akan menyediakan laporan berikut:
a) Laporan Penghulu di mukim tempat pemohon itu tinggal;
b) Perakuan daripada Pejabat Tanah tentang nilaian harta yang dinyatakan di dalam permohonan; dan
c) Pengesahan daripada Pendaftar Mahkamah Tinggi sama ada permohonan untuk Borang C telah dibuat atau belum bagi mentadbir harta pusaka berkenaan.

Setelah laporan-laporan di atas diperoleh, tindakan lanjut Unit Pembahagian Pusaka Kecil adalah seperti berikut:

a) Suatu tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Unit Pembahagian Pusaka Kecil melalui notis perbicaraan yang akan dihantar kepada pemohon dan waris-waris yang berkenaan.
b) Semasa perbicaraan dijalankan, Pegawai Tadbir Unit Pembahagian Pusaka Kecil akan memeriksa keterangan daripada pemohon dan juga waris-waris yang berkenaan dan merekodkan keterangan tersebut dan setelah berpuas hati, akan membenarkan permohonan yang dipohon itu.
c) Perintah pembahagian akan hanya dikeluarkan selepas tamat tempoh 14 hari dari tarikh perbicaraan bagi membolehkan mana-mana pihak mengemukakan rayuan, sekiranya terdapat apa-apa yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak.
d) Selepas tamat tempoh 14 hari dan sekiranya tidak ada apa-apa rayuan yang diterima, perintah pembahagian bolehlah dikeluarkan dengan membayar sejumlah fi yang ditetapkan.kepada Pejabat Tanah
e) Setelah perintah tersebut diperolehi, pemohon dikehendaki menyerahkan geran tanah untuk didaftarkan pembahagian seperti yang dicatatkan dalam perintah pembahagian dan geran tanah berkenaan akan dikembalikan setelah pendaftaran selesai.

15. Apakah prosedur untuk memohon pentadbiran terus (summary administration) di Amanah Raya Berhad (ARB)?

ARB merupakan sebuah institusi yang dilindungi oleh Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 [Akta 352] dan mempunyai bidang kuasa khusus untuk mentadbir harta pusaka. Prosedur bagi memohon pentadbiran terus di ARB adalah seperti berikut:
a) Menurut seksyen 17 Akta 352, Ketua Pegawai Eksekutif ARB dibenarkan mentadbir harta pusaka yang mempunyai harta alih yang tidak melebihi RM600,000.00 di bawah tanpa surat kuasa mentadbir daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pentadbir Tanah Daerah. Hal ini dibuat sekiranya tiada apa-apa permohonan dibuat oleh mana-mana pihak yang lain terhadap harta pusaka peninggalan si mati.
b) Waris-waris atau sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati yang tidak melebihi RM600,000.00 dalam bentuk harta alih sahaja boleh memohon kepada ARB untuk mentadbir harta pusaka tersebut.
c) Waris-waris hanya diperlukan mengisi dan mengemukakan borang permohonan ini dengan maklumat yang lengkap dan dokumen-dokumen yang membuktikan kematian si mati.
d) Sebaik sahaja permohonan ini diterima, ARB akan memprosesnya dengan mengeluarkan satu pengistiharan bagi mentadbir pusaka tersebut.
e) ARB diberi kuasa untuk menghasilkan aset-aset yang berkenaan bagi tujuan pembahagian.
f) Setelah menjelaskan bayaran duti pusaka bagi kes-kes kematian (sebelum 1 November 1991 sahaja), hutang pusaka dan menolak fi bagi ARB, baki aset akan dibahagikan menurut faraid (bagi orang Islam), Ordinan Pembahagian (bagi orang bukan Islam) atau secara persetujuan antara waris-waris yang berkenaan.
g) Seksyen 17 Akta 352 adalah sangat berkesan bagi kes tuntutan kemalangan maut jalan raya di mana waris-waris si mati bercadang untuk mengambil tindakan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67].

16. Bolehkah Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman untuk membuat permohonan probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman boleh memberi bantuan guaman untuk membuat permohonan probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka. Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

 

 

Tuntutan Nafkah Orang Bukan Islam

 

1. Apakah prinsip asas nafkah?

Prinsip asasnya adalah seseorang suami atau bapa kepada anak, sama ada sah taraf atau sebaliknya, mempunyai tanggungjawab untuk menanggung dan membayar nafkah isteri dan anaknya yang tiada kemampuan untuk menanggung diri mereka sendiri. Sekiranya tanggungjawab ini diabaikan, tuntutan boleh dibuat di mahkamah menurut Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Nafkah) 1950 [Akta 263].

2. Siapakah yang berhak menuntut nafkah?

Perempuan-perempuan yang bersuami yang menuntut bagi diri mereka dan juga anak-anak (sama ada sah taraf atau tidak sah taraf) yang tidak berkeupayaan menanggung diri mereka sendiri, termasuk juga anak angkat yang didaftarkan melalui Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257]. Tuntutan nafkah menurut Akta 263 hanya terpakai bagi orang yang bukan beragama Islam.

3. Kepada siapakah tuntutan nafkah boleh dibuat?

Tuntutan nafkah boleh dibuat terhadap mana-mana suami oleh isteri, atau kepada bapa oleh anak tersebut.

4. Bilakah tuntutan nafkah boleh dibuat?

Tuntutan nafkah boleh dibuat apabila pihak suami atau bapa cuai atau enggan menanggung nafkah isteri atau anaknya sama ada yang sah taraf atau tidak sah taraf.

5. Bagaimanakah keadaan cuai oleh pihak suami atau bapa yang membolehkan isteri dan anak-anak menuntut nafkah di mahkamah?

Apabila nafkah yang diberikan tidak mencukupi, tidak tetap atau tiada nafkah langsung diberikan kepada isteri dan anak-anak.

6. Apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan jumlah nafkah?

Mahkamah akan mengambil kira keperluan isteri dan/ atau anak dan juga kemampuan suami dan/ atau bapa dalam menentukan suatu jumlah nafkah yang munasabah. Faktor-faktor lain adalah:
a) Pendapatan dan harta pihak-pihak kepada tuntutan (terutama suami/ bapa);
b) Tanggungan pihak suami atau bapa;
c) Keperluan kewangan pihak-pihak kepada tuntutan;
d) Kebolehan kedua-dua pihak untuk mendapatkan pekerjaan;
e) Umur dan tahap kesihatan pihak-pihak kepada tuntutan.

7. Adakah boleh jika suami enggan membayar nafkah atas alasan pendapatan isteri telah mencukupi?

Tidak boleh. Suami tidak terlepas daripada tanggungan untuk membayar nafkah hanya kerana isteri mempunyai pendapatan atau wangnya sendiri.

8. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam tuntutan kes nafkah ini?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman bagi mewakili isteri dan anak membuat tuntutan nafkah di mahkamah.

 

 Tuntutan Ganti Rugi Bagi Kes Kemalangan Jalan Raya

1. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas kemalangan berlaku?

Antara tindakan yang perlu diambil adalah seperti yang berikut:
(a) Catat nama dan alamat pemandu atau pemandu-pemandu lain, model dan nombor pendaftaran yang terlibat dalam kemalangan tersebut;
(b) Catat nama dan alamat saksi-saksi kemalangan, sekiranya ada;
(c) Ambil gambar lokasi kejadian serta kemalangan/kerosakan yang dialami;
(d) Buat lakaran kasar kemalangan dan lokasi kenderaan;
(e) Pastikan laporan polis dibuat dengan segera iaitu dalam tempoh 24 jam;
(f) Menjalani rawatan perubatan di klinik/ hospital serta dapatkan laporan perubatan;
(g) sekiranya kemalangan melibatkan kematian, dapatkan sijil kematian; dan
(h) dapatkan semua resit perbelanjaan yang telah dibelanjakan akibat daripada kemalangan tersebut.

Selanjutnya, sekiranya pihak-pihak dilindungi oleh syarikat insurans:
(i) Bertukar maklumat nama syarikat insurans/ pengendali takaful masing-masing;
(j) Tidak perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan berkenaan liabiliti kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan dalam mengendalikan tuntutan kelak;
(k) Jika kenderaan perlu ditunda, pastikan kenderaan tersebut dihantar ke bengkel yang betul. Hubungi syarikat insurans/pengendali takaful atau nombor hotline kemalangan syarikat bagi mendapatkan maklumat bengkel yang betul; dan
(l) Laporkan kemalangan kepada syarikat insurans/pengendali takaful dengan segera, walaupun tidak berniat untuk membuat sebarang tuntutan. Pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan tersebut mungkin akan membuat tuntutan insurans kepada syarikat insurans/pengendali takaful dan akan menyebabkan kehilangan diskaun tiada tuntutan atau lebih dikenali sebagai NCD.

 

2. Apakah jenis tuntutan ganti rugi kemalangan yang boleh dibuat?

Terdapat 3 jenis tuntutan yang boleh diboleh dibuat iaitu:

(i) Tuntutan bagi kemalangan maut

(a) Tuntutan ini boleh diambil oleh isteri, suami, ibu bapa atau anak si mati yang telah kehilangan tanggungan akibat kematian si mati yang diakibatkan oleh kemalangan tersebut. Perkiraan jumlah tuntutan telah digariskan oleh Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67]. Pada lazimnya, faktor yang diambil kira dalam menentukan jumlah tuntutan ialah:
• umur si mati;
• status perkahwinan si mati; dan
• jumlah sumbangan si mati (semasa hayatnya) kepada keluarga.

(b) Keluarga si mati juga boleh menuntut untuk kedukacitaan (bereavement) sehingga RM 30,000.00. Tuntutan ini hanya boleh dibuat sekiranya;
• si mati berusia 18 tahun ke atas dan berkahwin (suami/ isteri); dan
• si mati berusia bawah 18 tahun dan tidak berkahwin (ibu/ bapa sahaja).
Tiada tuntutan kedukacitaan boleh dibuat sekiranya si mati berusia 18 tahun dan ke atas dan tidak berkahwin.
(c) Tuntutan harta pusaka si mati boleh diambil oleh pentadbir harta pusaka si mati yang telah dilantik menurut prosedur undang-undang. Tuntutan yang boleh dibuat oleh pentadbir harta pusaka si mati ialah:
• Kos bagi perbelanjaan yang ditanggung untuk merawat kesakitan/menjaga si mati, sekiranya si mati tidak meninggal dunia sebaik sahaja kemalangan berlaku;
• Kos bagi perbelanjaan untuk pengkebumian (funeral expenses) si mati; dan
• Kos yang perlu ditanggung bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir berhubung harta pusaka peninggalan si mati.

(ii) Tuntutan bagi kecederaan

Tuntutan ini boleh diambil bagi kes-kes kemalangan melibatkan kecederaan. Terdapat dua 2 jenis tuntutan yang boleh dibuat iaitu:

(a) Tuntutan ganti rugi am

Ganti rugi am akan ditaksirkan oleh mahkamah berpandukan kepada kes-kes yang terdahulu yang telah diputuskan berhubung dengan jumlah ganti rugi yang patut diberikan untuk kecederaan tertentu. Selain itu, sebagai panduan bagi penetapan kuantum ganti rugi, mahkamah juga akan membuat rujukan kepada Compendium of Personal Injury Awards yang disediakan oleh Majlis Peguam Malaysia.

(b) Tuntutan ganti rugi khas

Ganti rugi khas diberikan atas perbelanjaan/kerugian yang ditanggung oleh Pihak Menuntut akibat daripada kemalangan yang berlaku. Pihak Menuntut perlu mendapatkan segala resit perbelanjaan bagi membuktikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan seperti perbelanjaan untuk perubatan dan rawatan, kehilangan pakaian dan barangan, pembayaran untuk laporan polis, laporan perubatan dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan.

(iii) Tuntutan untuk kerosakan kenderaan

Tuntutan untuk kerosakan kenderaan ialah tuntutan bagi menuntut kos atau perbelanjaan bagi membaiki kenderaan yang rosak, kehilangan penggunaan kenderaan untuk jangka masa yang munasabah dan jumlah kemerosotan nilai harta kenderaan akibat daripada kemalangan yang berlaku. Pihak Menuntut perlu mendapatkan segala resit perbelanjaan yang berkaitan sebagai bukti bagi memfailkan tuntutan.

3. Bilakah tuntutan ganti rugi kemalangan boleh dibuat?

Tuntutan ganti rugi kemalangan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh undang-undang menurut Akta Had Masa 1953 [Akta 254] dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] sebagaimana di bawah:

(a) Jika tidak melibatkan kematian: 6 tahun dari tarikh kemalangan;
(b) Jika melibatkan kematian: 3 tahun dari tarikh kemalangan (tuntutan boleh dibuat melalui wakil si mati/ pentadbir harta pusaka si mati); dan
(c) Jika melibatkan pihak Kerajaan Malaysia: 3 tahun dari tarikh kemalangan.

4. Siapakah yang akan membayar ganti rugi yang dituntut?

Sekiranya pihak yang menanggung liabiliti dilindungi oleh syarikat insurans, seksyen 96(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] memperuntukkan bahawa penghakiman/perintah mahkamah berkenaan tuntutan ganti rugi berkenaan perlu dijelaskan oleh syarikat insurans yang melindungi kenderaan tersebut.

5. Sekiranya pihak-pihak tidak dilindungi oleh syarikat insurans, apakah tindakan yang perlu diambil selepas kemalangan berlaku?

Sekiranya kenderaan tidak dilindungi oleh mana-mana syarikat insurans, pemilik kereta akan menanggung sendiri apa-apa kos kerugian sama ada yang melibatkan kerosakan kenderaan atau kecederaan.

Pihak menuntut, pihak ketiga dan/atau pihak lain boleh menuntut kos ganti rugi sama ada melibatkan kerosakan kenderaan atau kecederaan terus kepada pihak yang menanggung liabiliti. Pihak yang menanggung liabiliti boleh dinamakan sebagai pihak-pihak yang dituntut dalam tuntutan ganti rugi yang difailkan ke mahkamah.

6. Apakah yang boleh dilakukan sekiranya menjadi mangsa kemalangan kepada kenderaan yang tidak dilindungi oleh insurans?

Sekiranya menjadi mangsa kemalangan kepada kenderaan yang tidak dilindungi oleh insurans, tuntutan masih boleh dibuat kepada Motor Insurer’s Bureau of West Malaysia (MIB).

7. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam kes tuntutan ganti rugi kemalangan?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman boleh memberi bantuan guaman bagi mewakili pemohon dalam kes tuntutan ganti rugi kemalangan. Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

8. Apakah dokumen yang perlu dibawa bersama ke Jabatan Bantuan Guaman bagi kes tuntutan ganti rugi kemalangan?

Dokumen yang perlu dibawa semasa hadir ke Jabatan Bantuan Guaman adalah seperti berikut:

(a) Laporan polis pihak-pihak yang terlibat dengan kemalangan;
(b) Laporan perubatan daripada klinik/hospital dan surat cuti sakit sekiranya berkaitan;
(c) Gambar kecederaan/ kerosakan kenderaan yang dialami;
(d) Rajah kasar tempat kemalangan daripada pihak polis;
(e) Laporan/ resit perbelanjaan bagi merawat kecederaan/ membaiki kerosakan kenderaan;
(f) Sijil kematian dan laporan perubatan/ autopsi bagi kemalangan yang melibatkan kematian; dan
(g) Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

 

 Penceraian Orang Bukan Islam

 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan perceraian?

Pembubaran sesuatu perkahwinan yang masih sah dan wujud. Mahkamah Tinggi (dan dalam kes-kes tertentu, Mahkamah Sesyen) mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan perceraian dan memberikan dekri perceraian.

2. Mengapakah perceraian yang melibatkan orang bukan Islam mesti melalui proses mahkamah?

Perceraian yang melibatkan orang bukan Islam mesti melalui proses mahkamah sebagaimana kehendak peruntukan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

3. Apakah kedudukan perkahwinan yang dilangsungkan sebelum Akta 164 dikuatkuasakan?

Semua perkahwinan yang dilangsungkan sebelum Akta 164 berkuat kuasa dianggap sebagai perkahwinan yang telah didaftarkan di bawah Akta ini dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

4. Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Pemohon sebelum permohonan perceraian difailkan ke mahkamah?

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum permohonan perceraian difailkan ke mahkamah ialah:
(a) Permohonan perceraian hanya boleh difailkan ke mahkamah selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan (Pemohon boleh mengemukakan permohonan kepada hakim untuk menyerahkan permohonan perceraian dalam tempoh tertentu atas alasan bahawa hal itu ialah suatu hal yang terbit daripada hal keadaan atau kesusahan yang terkecuali yang dideritai oleh sesuatu pihak); dan
(b) Pemohon perlu mendapatkan sijil daripada Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Pemohon boleh memohon pengecualian daripada merujuk kes ke Tribunal Perkahwinan di JPN boleh dengan mengemukakan alasan-alasan yang munasabah).

5. Berapakah kategori permohonan perceraian?

Kategori permohonan perceraian adalah seperti berikut:

A. Pembubaran Perkahwinan kerana Salah Satu Pihak Memeluk Agama Islam (Seksyen 51(1)(a) Akta 164)
Jika suatu pihak kepada perkahwinan sama ada suami atau isteri telah memeluk agama Islam dan pihak satu lagi sama ada suami atau isteri tidak memeluk agama Islam.

B. Pembatalan Perkahwinan (Seksyen 67, 68, 69 dan 70 Akta 164)
Pemohon sama ada suami atau isteri boleh menyampaikan suatu permohonan kepada mahkamah bagi memohon suatu dekri pembatalan perkahwinan atas alasan berikut:
(i) Seksyen 69 Akta 164: Sebelum pemohon memfailkan permohonan pembatalan perkahwinan, pemohon mestilah membuktikan kepada mahkamah bahawa terdapat alasan yang perkahwinan itu adalah tak sah.

(ii) Seksyen 70 Akta 164: Sesuatu perkahwinan yang berlaku selepas tarikh Akta 164 mula berkuat kuasa boleh menjadi tidak sah atas beberapa alasan yang telah ditetapkan melalui pembuktian.

C. Pembubaran Perkahwinan dengan Persetujuan Bersama (Seksyen 52 Akta 164)
Jika suami dan isteri bersama-sama bersetuju supaya perkahwinan mereka dibubarkan, mereka boleh selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan mereka, memfailkan permohonan perceraian bersama kepada mahkamah.

D. Petisyen Perceraian yang Dipertikaikan (Seksyen 53 dan 54 Akta 164)

Salah satu pihak kepada perkahwinan boleh memfailkan petisyen perceraian atas alasan bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tidak dapat lagi dipulihkan.

6. Apakah kesan utama daripada perceraian/ pembubaran perkahwinan?

Kesan utama selepas perceraian/ pembubaran perkahwinan ialah:
(a) Kedua-dua pihak boleh berkahwin dengan pihak yang lain apabila suatu dekri perceraian menjadi mutlak; dan
(b) Hak-hak pihak ditentukan oleh mahkamah.

7. Apakah dokumen yang diperlukan untuk memfailkan permohonan perceraian?

Dokumen yang diperlukan untuk memfailkan permohonan perceraian adalah seperti berikut:
(a) Salinan sijil perkahwinan atau dokumen lain yang boleh membuktikan kewujudan perkahwinan;
(b) Salinan sijil kelahiran anak-anak hasil daripada perkongsian perkahwinan (jika ada);
(c) Sijil Tribunal Perkahwinan di JPN;
(d) Kad pengenalan;
(e) Nama/ alamat/ pekerjaan dan pendapatan tahunan suami/ isteri;
(f) Nama dan alamat majikan suami/ isteri; dan
(g) Laporan-laporan yang berkaitan; dan
(h) Dokumen sokongan lain yang berkaitan, jika ada.

8. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam kes tuntutan perceraian?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman bagi mewakili pemohon sama ada suami dan/ atau isteri untuk memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah.
Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

 

Sewa Beli

 

1. Apakah perjanjian sewa beli?


Perjanjian sewa beli ialah suatu perjanjian menyewa barang-barang dengan hak pilihan untuk membelinya. Pembayaran dibuat secara ansuran. Anda ialah penyewa dan syarikat yang memberi pinjaman ialah pemunya. Hakmilik akan hanya dipindah kepada penyewa setelah semua bayaran ansuran dijelaskan.

 

2. Apakah barang-barang yang dikawal di bawah Akta Sewa Beli 1967?


Barang-barang yang tersenarai di bawah adalah tertakluk kepada Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212] iaitu seperti berikut;
a) semua barangan pengguna iaitu barang-barang yang dibeli untuk kegunaan sendiri, keluarga atau untuk kegunaan isi rumah.
b) kenderaan bermotor - kenderaan orang cacat, motosikal, kereta termasuk teksi dan kereta sewa, kenderaan barang-barang (berat dengan muatan maksimum tidak melebihi 254O kg); dan bas termasuk bas berhenti-henti.

 

3. Apakah bentuk dan kandungan perjanjian sewa beli?


Perjanjian hendaklah bertulis dan mengandungi maklumat penting yang berikut:
(a) perihal barangan;
(b) tarikh kuat kuasa perjanjian;
(c) pengiraan jumlah yang perlu dibayar;
(d) deposit;
(e) caj terma dan kadar peratus tahunan untuk caj terma;
(f) caj lewat bayar;
(g) bilangan ansuran bulanan;
(h) jumlah ansuran bulanan;
(i) masa, tempat dan nama orang yang kepadanya ansuran perlu dibayar;
(j) alamat barangan tersebut biasanya disimpan;
(k) nama, alamat dan tandatangan penyewa dan pemunya.

 

4. Apakah hak-hak penyewa (Pengguna)?

(a) menerima notis Jadual Kedua sebelum menandatangani perjanjian sewa beli;
(b) menerima sesalinan perjanjian sewa beli dalam masa 14 hari selepas perjanjian ditandatangani;
(c) memperoleh maklumat mengenai akaun;
(d) meminta penyata baki belum jelas (sekali setiap 3 bulan);
(e) menyelesaikan kemudahan sewa beli lebih awal dan menerima rebat;
(f) menamatkanperjanjiansewabelipada bila-bila masa; dan
(g) tidak menandatangani dokumen yang tidak diisi dengan lengkap.

 

5. Apakah tanggungan-tanggungan penyewa?


Tanggungan penyewa adalah seperti yang berikut:
(a) membayar ansuran seperti yang tercatat dalam perjanjian;
(b) tidak memindahkan atau menjual barang tanpa kebenaran pemunya;
(c) memaklumkan pertukaran alamat kepada pemunya dalam tempoh 14 hari;
(d) menyimpan kad jaminan, semua resit dan surat yang berkaitan dengan perjanjian sewa beli;
(e) memastikan kandungan perjanjian sewa beli adalah sama dengan kandungan dalam notis Jadual Kedua;
(f) menginsuranskan kenderaan bermotor selepas tahun pertama dan memaklumkan pemunya mengenai pembaharuan polisi insurans tidak lewat daripada 14 hari sebelum polisi luput.

 

6. Bilakah pemunya mengambil semula hakmilik?


Pemunya berhak mengambil semula hakmilik apabila –
(a) penyewa gagal membayar ansuran penuh sebanyak dua kali berturut-turut atau gagal membayar ansuran terakhir;
(b) penyewa telah meninggal dunia dan terdapat kegagalan membayar empat ansuran bulanan dengan berturut-turut.
7. Bagaimanakah penjualan barang-barang selepas pengambilan semula hak milik boleh dibuat?
Apabila seseorang pemunya mengambil semula hak milik barang-barang di bawah perjanjian sewa beli dan bercadang menjual barang-barang itu –
(a) jika melalui lelongan awam, pemunya hendaklah memberi penyewa salinan notis mengenai lelongan itu; atau
(b) selain melalui lelongan awam, pemunya hendaklah memberi penyewa suatu pilihan untuk membeli barang-barang itu pada harga yang pemunya bercadang menjual barangan itu sekiranya harga itu kurang daripada nilai anggaran oleh pemunya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.

8. Apakah penalti bagi mereka yang melanggar peruntukan di bawah Akta Sewa Beli 1967?

i. Seksyen 38 memperuntukkan bahawa –
Sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya adalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
ii. Seksyen 46 memperuntukkan bahawa –

Sesiapa yang melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

 

9. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh penyewa sebelum memasuki perjanjian sewa beli?

a) Pastikan mampu untuk membayar ansuran bulanan. Sebagai panduan, bayaran ansuran bulanan untuk rumah dan kenderaan bermotor hendaklah tidak melebihi 33% daripada pendapatan bulanan.
b) Pastikan semua perjanjian dibuat secara bertulis.
c) Baca setiap cetakan halus pada perjanjian bertulis.
d) Pastikan harga belian dan terma perjanjian adalah sama dengan yang dipersetujui
e) Pastikan mengetahui tanggungjawab sebagai penyewa bagi memastikan tidak melakukan sebarang tindakan yang melanggar kontrak.
f) Semua dokumen disimpan di tempat yang selamat.
g) Semua pembayaran dibuat kepada orang yang diberi kuasa oleh pemunya.

 

10. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya pemunya menuntut pembayaran bagi perjanjian yang tidak dimasuki?


• Membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan.
• Melantik peguam untuk mewakili kes di mahkamah.

 

11. Siapakah yang boleh mengambil semula barangan tersebut?


Biasanya pemunya akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia. Sebelum mengambil semula barang tersebut, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh pemunya.

 

12. Apakah peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh penarik?

• Penarik hendaklah menunjukkan kad kuasanya kepada penyewa.
• Penarik hanya boleh memasuki premis dengan izin penyewa.
• Penarik perlu bertindak secara profesional.
• Tiada kekerasan dan paksaan digunakan.
• Penyewa hendaklah diberi peluang untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik.
• Selepas kenderaan tersebut ditarik, penarik hendaklah membuat laporan polis dengan serta-merta

 

13. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya pembayaran ansuran yang telah melebihi 75% harga belian?


a) Seksyen 16(1A) Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan, sekiranya bayaran ansuran telah melebihi 75% dari jumlah harga belian tunai barang tersebut, maka pemunya perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum mengambil semula milikan barangan tersebut; dan
b) Seksyen 16(1B) Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan, selepas mendapatkan perintah mahkamah di bawah Seksyen 16(1A), pemunya perlu menyerahkan notis di dalam Jadual Keempat Akta kepada penyewa sebelum boleh mengambil semula milikan barangan tersebut.

 

14. Bolehkah Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan sekiranya saya menghadapi masalah berhubung dengan sewa beli?


Boleh. Anda boleh datang ke mana-mana cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan tempat tinggal anda dan membawa-
(a) dokumen perjanjian sewa beli;
(b) jadual-jadual yang berkaitan;
(c) resit-resit yang berkaitan; dan
(d) surat-menyurat antara penyewa dengan pemunya.

 

 

Hak-Hak Peminjam Wang dibawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951

 

1. Siapakah pemberi pinjam wang?

Pemberi pinjam wang ialah mana-mana orang yang menjalankan perniagaan pinjaman wang yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400].

 

2. Siapakah yang tidak dikira sebagai pemberi pinjam wang?

Seseorang yang sekali-sekala memberi pinjam wang bukanlah seorang pemberi pinjam wang. Suatu bentuk pinjaman wang dikehendaki dibuktikan sebelum seseorang itu ditakrifkan sebagai pemberi pinjam wang.

Institusi yang berikut tidak dikategorikan sebagai pemberi pinjam wang:
(a) mana-mana institusi yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis dan termasuk pihak berkuasa tempatan;
(b) koperasi;
(c) institusi bank;
(d) syarikat insurans;
(e) syarikat takaful;
(f) kedai pajak gadai; dan
(g sesiapa yang menjalankan perniagaan yang objektif utamanya bukan perniagaan pinjaman wang.

 

3. Apakah syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh pemberi pinjam wang?

Pemberi pinjam wang hendaklah mematuhi syarat yang berikut:
(a) Lesen
Seksyen 15 Akta 400 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang hendaklah mempunyai lesen. Apa-apa kontrak bagi pembayaran balik wang yang dipinjam tanpa lesen tidak boleh dikuatkuasakan. Bagaimanapun, pinjaman yang dilakukan oleh ejen boleh dikuatkuasakan jika transaksi tersebut dilakukan bagi pihak prinsipal yang mempunyai lesen.

(b) Buku Akaun Tetap
Seksyen 18 Akta 400 memperuntukkan memberi pinjam wang hendaklah, menyimpan dengan teratur tiap-tiap akaun peminjam. Akaun tersebut hendaklah secara urutan ditulis dengan angka dan perkataan yang jelas. Akaun tersebut tidak boleh memudahkan penghapusan, penyisipan atau penggantian manamana muka surat. Mana-mana pemberi pinjam wang yang tidak mematuhi kehendak tersebut tidak boleh menguatkuasakan tuntutan-tuntutan mereka.

(c) Penyata Kira-kira
Pada bila-bila masa selagi berkuatkuasanya kontrak pinjaman wang, pihak pemberi pinjam wang hendaklah membekalkan kepada peminjam jika diminta, penyata kira-kira yang mengandungi perkara yang berikut:

(i) tarikh pinjaman, jumlah pinjaman dan kadar faedah setahun atau jumlah kadar faedah yang dikenakan;
(ii) jumlah apa-apa bayaran yang telah dibuat dan tarikh bayaran tersebut;
(iii) jumlah dan kadar bunga yang tertunggak dan tarikh tertunggak; dan
(iv) jumlah yang belum tertunggak yang masih terhutang dan tarikh patut dibayar.

Kegagalan pemberi pinjam wang mematuhi syaratsyarat di atas boleh menyebabkan mereka tidak boleh menguatkuasakan hak-hak mereka di bawah Akta 400. Bagi maksud ini, suatu penyata kira-kira seperti di Lampiran ‘A’ adalah memadai.

 

4. Apakah hak-hak dan tanggungan peminjam?

(a) Faedah Berganda Pinjaman-pinjaman yang diberikan oleh peminjam wang yang mengenakan faedah berganda adalah tidak sah dari segi undang-undang, begitu juga jika mengenakan kadar atau jumlah kadar faedah yang meningkat disebabkan oleh kegagalan membayar pada tarikh yang ditetapkan (seksyen 17 Akta 400).

(b) Kadar Faedah Menurut seksyen 17A Akta 400, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun dan bagi yang bercagar tidak melebihi 12 peratus setahun. Walau apa pun keadaannya, sama ada transaksi tersebut berkuat kuasa atau tidak, apa-apa jumlah kadar faedah yang melebihi jumlah yang telah ditetapkan tidak boleh dituntut oleh peminjam wang.

(c) Perjanjian Di bawah seksyen 16 Akta 400, sebelum sesuatu perjanjian pinjaman wang boleh dikuatkuasakan, perjanjian tersebut hendaklah ditandatangani oleh pihak-pihak kepada perjanjian tersebut. Di samping itu, mestilah terdapat keterangan yang menunjukkan pengesahan bahawa perjanjian yang telah disetemkan telah diberikan kepada pemimjam sebelum wang diserahkan.

(d) Pengakusaksian Nota Janji Hutang Yang Tertentu Apabila nota janji hutang dipegang sebagai cagaran dan peminjam ialah seorang yang tidak memahami apa yang ditulis atas nota tersebut, maka Akta 400 menghendaki nota tersebut diaku saksi oleh sama ada peguam bela, peguam cara, pegawai kehakiman dan perundangan, pegawai daerah, jaksa pendamai, pesuruhjaya sumpah atau mana-mana orang yang dilantik oleh Menteri untuk tujuan tersebut. Wang yang dipinjamkan itu hendaklah diserahkan semasa kehadiran pengaku saksi. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pemberi pinjam wang tidak boleh menguatkuasakan perjanjian tersebut (seksyen 27 Akta).

(e) Larangan Caj Bagi Perbelanjaan Ke Atas Pinjaman

Selain duti setem, fi yang dibenarkan oleh undang-undang dan kos guaman yang berkaitan dengan pinjaman, tiada caj yang boleh dikenakan oleh pemberi pinjam wang (seksyen 23 Akta 400).

 

5. Bolehkah Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan untuk membela peminjam terhadap tuntutan yang dibuat oleh pemberi pinjam wang?

Boleh. Sila datang ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berhampiran dan bawa dokumen yang berikut:
(a) kad pengenalan;
(b) penyata kira-kira;
(c) nota atau memorandum berkaitan dengan pinjaman;
(d) resit pembayaran balik pinjaman; dan
(e) dokumen lain yang berkaitan.

 

 

Hak Penjagaan Anak Bagi Orang Bukan Beragama Islam

 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan “jagaan” (custody)?


“Jagaan” bermaksud seseorang kanak-kanak tinggal bersama-sama dengan penjaganya, bermaksud sekiranya si ibu mendapat hak jagaan maka si anak akan tinggal bersama ibunya.

 

2. Apakah yang dimaksudkan dengan “penjagaan” (guardianship)?


“Penjagaan” merujuk kepada perhubungan yang timbul daripada ketidakupayaan semula jadi kanak-kanak untuk menguruskan hal diri mereka (contoh: membuat keputusan mengenai pendidikan dan pentadbiran harta).

 

3. Apakah hak-hak penjaga (guardian)?


Hak seseorang penjaga (guardian) termasuklah hak untuk –
(a) menentukan pendidikan anak;
(b) memberi nama anak;
(c) tindakan disiplin;
(d) pemilihan agama;
(e) pentadbiran harta;
(f) persetujuan untuk berkahwin bagi anak yang berumur di bawah 21 tahun;
(g) perubatan; dan
(h) membenar atau menolak permohonan pasport dan sebagainya.
Lazimnya, seseorang yang mendapat hak jagaan anak akan mempunyai penjagaan ke atas anak itu walaupun pihak lain yang berkepentingan akan mendapat “akses” iaitu hak melawat dan melihat.

 

4. Siapakah yang boleh memohon hak penjagaan anak?


Orang yang boleh memohon hak penjagaan anak ialah –
(a) ayah;
(b) ibu;
(c) saudara mara;
(d) persatuan;
(e) sesiapa yang sesuai/layak;
(f) mengikut mana-mana yang berkenaan, sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah.

 

5. Siapakah yang paling utama berhak terhadap penjagaan anak?

Seseorang ibu adalah lebih berhak terhadap penjagaan anak sekiranya anaknya berusia di bawah 7 tahun. Tertakluk kepada fakta kes yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah, adalah tidak wajar untuk mengganggu kehidupan kanak-kanak tersebut dengan bertukar penjagaan daripada seorang penjaga kepada penjaga yang lain.

 

6. Siapakah orang yang menjadi penjaga kepada anak menurut undang-undang?

Orang yang menjadi penjaga kepada anak menurut undang-undang ialah bapa. Walau bagaimanapun, ia boleh berubah kepada ibu atau sesiapa sahaja menurut perintah mahkamah setelah mengambil kira kebajikan anak tersebut.

7. Apakah faktor-faktor yang akan diberi pertimbangan oleh mahkamah berhubung dengan penjagaan anak?
Kebajikan kanak-kanak tersebut menjadi faktor yang utama. Faktor utama bermakna ia mengatasi pertimbangan yang lain. Antara faktor lain yang akan diberi pertimbangan oleh Mahkamah adalah;

(a) hasrat ibu bapa kanak-kanak tersebut;
(b) kemahuan kanak-kanak itu sendiri sekiranya dia berada dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya dengan bebas;
(c) umur dan jantina kanak-kanak tersebut;
(d) agama dan adat resam;
(e) bangsa dan latar belakang budaya;
(f) kelakuan pihak-pihak yang membuat tuntutan;
(g) kemungkinan pihak-pihak berdamai;
(h) kelebihan dari segi pendidikan dan material; dan
(i) faktor kesihatan dan perubatan.

8. Bagaimanakah sekiranya terdapat lebih daripada seorang kanak-kanak yang terlibat dengan tuntutan penjagaan?
Pertimbangan akan diberikan kepada kebajikan tiap-tiap kanak-kanak tersebut secara berasingan. Seboleh-bolehnya kanak-kanak ini tidak akan dipisahkan. Walau bagaimanapun, mahkamah tidak terikat untuk meletakkan kesemua mereka di bawah penjagaan seorang penjaga sahaja.

9. Siapakah yang berhak ke atas penjagaan anak tak sah taraf?
Penjagaan anak tak sah taraf adalah terletak kepada ibu kandung kanak-kanak tersebut.

10. Apakah syarat-syarat lain yang boleh dikenakan oleh mahkamah berhubung dengan perintah jagaan?
Syarat-syarat lain yang boleh dikenakan oleh mahkamah ialah –
(a) tempat di mana kanak-kanak itu akan tinggal, pendidikan dan agama;
(b) supaya kanak-kanak itu buat sementara berada dalam kawalan dan pemeliharaan seorang yang lain daripada orang yang diberi penjagaan kanak-kanak itu;
(c) melarang orang yang mendapat hak jagaan membawa kanak-kanak tersebut keluar dari Malaysia.

11. Berapa lamakah tempoh penjagaan anak?
Tertakluk kepada syarat-syarat yang dipersetujui oleh pihak-pihak. Sekiranya tidak ada apa-apa syarat, tempoh penjagaan ialah sehingga kanak-kanak tersebut berusia 18 tahun dan nafkah bagi anak yang tidak berkeupayaan selama ketidakupayaan itu berterusan atau sehingga ditentukan oleh mahkamah.

12. Bolehkah perintah penjagaan anak dipinda?
Perintah penjagaan anak boleh dipinda sekiranya mahkamah mendapati terdapat perubahan matan dalam hal keadaan atau sekiranya boleh dibuktikan bahawa perintah terdahulu dibuat berdasarkan fakta yang salah.

13. Apakah kewajipan seseorang penjaga kanak-kanak?
Seseorang penjaga kanak-kanak adalah bertanggungjawab terhadap penanggungan kesihatan dan pendidikan.

14. Bagaimanakah cara menentukan penjagaan anak yatim?
Penjagaan anak yatim akan tertakluk kepada wasiat ibu bapa kanak-kanak tersebut. Sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut meninggal dunia tanpa wasiat maka Majistret, Penghulu, Pegawai Polis, Pelindung kanak-kanak tersebut dan sesiapa yang mempunyai kuasa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 boleh memohon kepada mahkamah untuk melantik penjaga kepada kanak-kanak yatim piatu yang ibu bapanya meninggal tanpa wasiat.

15. Siapakah yang menjaga harta kanak-kanak tersebut dan kewajipan beliau?
Mahkamah akan melantik seorang penjaga atau wasi atau pemegang amanah dengan syarat-syarat tertentu. Penjaga akan bertanggungjawab terhadap pengurusan harta dan boleh membuat apa-apa tindakan yang munasabah dan berpatutan bagi penghasilan atau perlindungan harta tersebut.

16. Apakah maklumat dan dokumen yang diperlukan bagi menuntut penjagaan anak?
Maklumat dan dokumen yang diperlukan bagi menuntut penjagaan anak adalah seperti yang berikut:
(a) kad pengenalan;
(b) surat nikah/cerai asal;
(c) sijil kelahiran anak;
(d) nama dan alamat;
(e) pekerjaan;
(f) perintah perceraian;
(g) laporan perubatan;
(h) laporan polis;
(i) nama majikan;
(j) saksi;
(k) penyata gaji;
(l) perakuan daripada majikan;
(m) pengesahan pemastautinan pihak yang menuntut; dan
(n) apa-apa dokumen yang berkaitan.