Umum

1. Apakah undang-undang yang mengawal Jabatan Bantuan Guaman

Akta Bantuan Guaman 1971 yang mula berkuat kuasa pada 24 April 1971 ialah undang-undang yang mengawal Jabatan Bantuan Guaman. Perjalanan pentadbiran harian JBG dikawal oleh Peraturan-Peraturan Bantuan dan Nasihat Guaman 1970 dan Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman (Pengantaraan) 2006.

2. Apakah objektif Jabatan Bantuan Guaman?

Jabatan Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada September 1970 dan objektifnya adalah untuk memberi bantuan dan nasihat guaman serta khidmat pengantaraan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan untuk memberi kesedaran undang-undang kepada masyarakat dengan cekap,tepat dan berkesan.

3. Apakah kriteria yang melayakkan saya mendapat bantuan guaman?

Anda layak mendapat bantuan guaman sekiranya anda mempunyai kes yang baik untuk diwakili di mahkamah dan memenuhi pra-syarat seperti yang berikut:

  • Sumber kewangan anda tidak melebihi RM25,000.00 setahun; atau
  • Sumber kewangan anda melebihi RM25,000.00 setahun tetapi tidak melebihi RM30,000.00 setahun

4. Sekiranya saya layak mendapat bantuan guaman, adakan saya dikenakan apa-apa bayaran?

Sekiranya sumber kewangan tahunan anda di antara RM25,000.00 hingga RM30,000.00, anda dikehendaki membayar sumbangan yang akan ditetapkan oleh Ketua Pengarah JBG.

5. Apakah keistimewaan orang yang dibantu?

Keistimewaan orang yang dibantu adalah seperti yang berikut:

  • Tidak akan dikenakan apa-apa bayaran perundangan, pentadbiran atau proses kecuali bayaran RM2.00 untuk pendaftaran, bayaran RM300.00 sebagai sumbangan   (jika perlu mengikut kelayakan) dan bayaran nominal untuk perbelanjaan (jika diperlukan); 
  • Tidak boleh dikenakan apa-apa bayaran mahkamah, bayaran-bayaran yang kena dibayar untuk penyampaian apa-apa proses dan apa-apa bayaran yang patut untuk Sherif berkaitan dengan pelaksanan proses
  • Berhak dibekalkan dengan percuma salinan nota keterangan hakim dalam mana-mana prosiding;
  • Tidak boleh dikenakan kos kepada mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding; dan
  • Boleh berhak ke atas kos dalam mana-mana prosiding  yang kos dibenarkan seolah-olah dia bukan seorang yang dibantu.

6. Sekiranya kedua-dua pihak dalam sesuatu pertikaian layak untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman, adakah Jabatan Bantuan Guaman akan membantu kedua-dua pihak atau hanya pihak yang mula-mula hadir ke Jabatan?

Perkhidmatan bantuan guaman adalah terbuka kepada semua pihak yang layak tanpa mengambil kira pihak manakah yang hadir dahulu ke Jabatan Bantuan Guaman.

7. Apakah yang akan berlaku sekiranya kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian diwakili oleh Jabatan Bantuan Guaman?

Sekiranya perkara ini berlaku, kedua-dua pihak akan dirujuk ke sidang pengantaraan di Jabatan kami untuk mencari suatu penyelesaian di luar mahkamah. Jika sidang pengantaraan gagal, kes mereka akan dirujuk kepada panel peguam yang dilantik oleh Jabatan ini mengikut seksyen 5 Akta Bantuan Guaman 1971 dan fi guaman akan dibayar oleh Jabatan Bantuan Guaman.

8. Adakah saya masih layak dibantu walaupun kes saya di luar bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman?

Sesuatu permohonan bagi kes di luar bidang kuasa Jabatan sebagaimana yang  dinyatakan dalam subseksyen 10(2A) dan 12(3) Akta Bantuan Guaman 1971 boleh dikemukakan kepada Menteri melalui Ketua Pengarah untuk pertimbangan dan pengecualian dengan syarat bahawa terdapat merit dalam permohonan tersebut.

9. Apakah bentuk nasihat undang-undang yang disediakan oleh Jabatan Bantuan Guaman?

Menurut seksyen 29 Akta Bantuan Guaman 1971, nasihat guaman hendaklah terdiri daripada nasihat secara lisan mengenai soal undang-undang berkaitan dengan undang-undang Malaysia.