
JBG Johor Sertai Bengkel Persediaan Pengoperasian Rumah Pesona Johor
17 April 2025, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) telah menganjurkan Bengkel Garis Panduan Rumah Pesona Johor (RPJ) Bil.3/2025 bertempat di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru. Bengkel ini merupakan langkah penting dalam usaha akhir ke arah pelaksanaan pengoperasian Rumah Pesona Johor (RPJ) – sebuah pusat perlindungan sementara untuk wanita mangsa keganasan rumah tangga yang bakal beroperasi tidak lama lagi. RPJ merupakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2020–2030, Teras 8: Pesona Wanita dan Aspirasi Idealis Anak Muda, dan dibangunkan oleh YPKDT sebagai transit perlindungan jangka sederhana dan panjang untuk golongan wanita yang memerlukan. Bengkel sehari ini telah mengumpulkan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan jabatan negeri Johor bagi menyumbang pandangan terhadap penyediaan garis panduan pengurusan RPJ. Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor turut serta dengan kehadiran Pengarah, Puan Aidatul Azura binti Zainal Abidin, bersama tiga pegawai iaitu Tuan Muhammad Syafiq bin Ghazali, Puan Noor Doty binti Rasul dan Puan Siti Rahayu binti Alias. Sesi petang bengkel diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, yang menyokong penuh usaha memperkasa perlindungan wanita melalui RPJ. Pihak Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor merakamkan penghargaan kepada YPKDT atas jemputan dan penganjuran bengkel yang berimpak tinggi ini demi kesejahteraan dan keselamatan wanita Johor. |
|
![]() |
![]() |